SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang dicari bagi membantu siasatan kes bunuh isterinya di Taman Kelisa Ria, Amanjaya ditemui mati tergantung pada papan iklan di Jalan Lencongan Timur dekat Bukit Bintang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat lelaki berusia 62 tahun iaitu suami kepada mendiang Kuek Choo Hong, 61, ditemui orang awam yang melalui kawasan tersebut pukul 7.40 pagi.
“Lelaki tersebut adalah individu dicari bagi membantu siasatan kes bunuh isterinya semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adzli berkata, polis menemui sebuah kereta milik lelaki tersebut yang ditinggalkan kira-kira 50 meter dari tempat dia ditemui tergantung.
Kata beliau, mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar dekat sini untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Adzli berkata, walaupun warga emas itu menjadi orang utama disyaki menyebabkan kematian isterinya yang merupakan seorang jurujual, polis tetap meneruskan siasatan.
“Polis percaya kejadian itu dilakukan oleh orang yang dikenali berdasarkan tiada kesan pecah masuk ke rumah mangsa,,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE