KUALA LUMPUR: Tiada siapa yang terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang termasuk orang kenamaan (VIP) dalam mengekang penularan pendemik Covid-19.
Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali (Bersatu-Bagan Serai) berkata, semua individu termasuk pemimpin di negara ini tertakluk di bawah akta yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Malah katanya, denda berat boleh dikenakan kepada sesiapa sahaja bergantung siasatan yang dijalankan oleh agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Tiada siapa mengatasi undang-undang. Ia bukan untuk mendera tapi menyelamatkan manusia. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan menjalani kuarantin di rumah.
“Jadi sesiapa sahaja melanggar arahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000. Jika ada kes serius yang dilaporkan dan disiasat dibawah PDRM ia terpulang kepada agensi tersebut untuk menghukum atas kesalahan yang dilakukan tanpa mengira sesiapa pun,” katanya.
Dr. Noor Azmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikompaun RM1,000 atas kesalahan gagal menjalani kuarantin wajib sebaik pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Beliau dikenakan denda di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342). – UTUSAN ONLINE