SK Gedok ambil inisiatif suburkan budaya membaca - Utusan Malaysia

SK Gedok ambil inisiatif suburkan budaya membaca

SEBAHAGIAN ibu bapa menggunakan kemudahan membaca yang disediakan di SK Gedok, Tampin, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Kebiasaannya ibu bapa hanya menunggu di dalam kenderaan masing-masing sebelum menjemput anak di sekolah, namun berbeza di Sekolah Kebangsaan (SK) Gedok, Gemencheh, dekat sini.

Sejak penghujung tahun lalu, sekolah berkenaan telah melancarkan satu projek inovasi menggalakkan membaca dalam kalangan ibu bapa dan komuniti setempat.

Ia menerusi penyediaan tempat bacaan yang diberi nama Gedok – Perpustakaan Komuniti atau G-PusKom.

Menurut pesara kerajaan, Mohd. Maksom Karsahid, 60, inisiatif yang dilakukan pihak sekolah  sedikit-sebanyak mengubah kebiasaan masyarakat setempat terutama ibu bapa dan penjaga.

Mereka kini, menurutnya, mula membaca buku, majalah atau surat khabar sementara menunggu anak jagaan masing-masing habis sesi persekolahan.

“Memang sebelum ini kalau tunggu anak atau cucu balik, kita duduk di dalam kereta tanpa berbuat apa-apa tapi bila dah ada G-PusKom ini, ibu bapa berkumpul di sini dan membaca buku serta majalah.

“Di sini bukan anak-anak sahaja yang dididik budaya membaca, masyarakat setempat yang sudah pun sedikit berusia juga digalakkan membaca,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Seorang lagi penjaga, Fazilah Husin, 41,  berkata, dia melihat perubahan positif pada dua anaknya yang belajar di sekolah berkenaan apabila mereka mula membaca buku sementara menunggu untuk diambil pulang.

“Kedudukan perpustakaan ini betul-betul di luar bangunan sekolah dan di tepi jalan. Konsepnya pun terbuka sehingga orang luar pun boleh masuk untuk membaca buku di sini.

“Disebabkan saya lihat banyak impak positifnya, saya kini sudah pun membina perpustakaan mini di rumah dan berharap agar minat membaca anak saya ini akan dapat disuburkan walaupun di luar sekolah,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Geduk, Ismail Sabtu, 43, berkata, idea menubuhkan G-PusKom berkenaan timbul apabila pihak sekolah mendapati mukim Gemencheh tidak memiliki perpustakaan komuniti untuk penduduk setempat.

“Jadi pihak Pusat Sumber Sekolah (PSS) Darul Hikmah Geduk serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengambil inisiatif ini dengan bantuan Perpustakaan Awam Daerah Tampin untuk menyediakan ruangan perpustakaan terbuka untuk komuniti setempat.

“Buat masa ini, kami sudah ada 200 lebih bahan bacaan di hentian sekolah ini.  Antara kejayaan kami ialah penglibatan program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) dalam kalangan murid 100 peratus berjaya dicapai dan 10 buah keluarga juga telah terinspirasi untuk mewujudkan perpustakaan mini di rumah masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk meminjam buku pada waktu pejabat, sama ada secara manual mahupun melalui teknologi imbasan kod QR. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya