Sisa pepejal negara naik semula tempoh PKPP - Utusan Malaysia

Sisa pepejal negara naik semula tempoh PKPP

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail mendengar penerangan dari Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ismail Mokhtar mengenai arca yang disampaikan di Galeri Diraja Arau di sini hari ini.- UTUSAN/ NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Jumlah sisa pepejal yang terhasil dalam negara ini meningkat semula kepada hampir 30 peratus,  selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ismail Mokhtar berkata, peningkatan tersebut didorong pembukaan semula sektor Komersial, Industri dan Institusi (ICI).

“Sekarang kita sudah kembali kepada proses normalisasi jadi memang logik jumlah sisa pepejal meningkat semula.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak sektor ICI seperti kilang, universiti, sekolah dan pusat membeli-belah tutup. Sektor ini memang menyumbang kira-kira 30 peratus kepada sisa pepejal negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi penyerahan dua buah arca seni hasil daripada Pertandingan ‘Waste to Art’ kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Galeri Diraja Arau di sini hari ini.

Tambah Ismail, bagaimanapun, jumlah sisa pepejal masih tidak mencapai tahap sebelum PKP kerana masih ada lagi kilang-kilang yang tidak beroperasi dengan kapasiti penuh disebabkan masih ada sekatan dari segi import dan eksport.

“Namun begitu, terdapat peningkatan sisa pepejal dalam kalangan isi rumah terutamanya pada musim perayaan yang naik kira-kira 10 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pertandingan ‘Waste to Art’ yang dianjurkan setiap tahun sejak 2016 telah menerima peningkatan penyertaan kepada 363 pada tahun ini.

Jelasnya, tarikh tutup penyertaan pertandingan itu adalah pada 26 Julai lalu dan pemenangnya dijangka akan diumumkan pada Oktober ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya