Siasatan SPRM ke atas Mara Inc. lumrah sebuah organisasi - Utusan Malaysia

Siasatan SPRM ke atas Mara Inc. lumrah sebuah organisasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rak­yat (Mara) menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aduan rasuah membabitkan penjualan hartanah Duddley International House di Melbourne, Australia kepada Mara Inc. pada 2013, sebagai lumrah dalam operasi organisasi itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, pihaknya tidak menganggapnya sebagai satu perkara membebankan kerana ia hanyalah siasatan dan belum disabitkan kesalahan.

Sehubungan itu, kata beliau, Mara tidak mempunyai masalah untuk memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan dan bersedia menyediakan maklumat yang dikehendaki SPRM.

“Beri ruang kepada SPRM menjalankan siasatan. Sebagai pengerusi, saya menganggap ini adalah satu lumrah naik turun organisasi ini sendiri,” katanya di sini semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, tiga kertas siasatan dibuka SPRM berhubung aduan rasuah membabitkan Mara Inc. di Australia.

Seramai 70 saksi diambil keterangan dan SPRM telah mengemukakan permohonan Bantuan Guaman Bersama (MLA) kepada pihak Polis Persekutuan Australia sebanyak tiga kali iaitu pada 2016 dan 2017 bagi membantu mendapatkan keterangan tujuh saksi di sana.

Difahamkan, tiga kertas siasatan yang dibuka itu membabitkan penjualan tiga blok pangsapuri berkenaan.

Azizah berkata, pihaknya tidak menganggap perkara itu boleh menjatuhkan imej Mara kerana terlalu banyak sumba­ngan organisasi itu kepada orang ramai sejak ditubuhkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN