KUANTAN: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) mendesak kerajaan negeri menjalankan siasatan menyeluruh terhadap mereka yang terlibat dalam penerokaan tanah haram sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Presidennya, Haslihelmy Dm Zulhasli berkata, PSAP berpandangan adalah mustahil penerokaan tanah haram melibatkan puluhan ribu ekar di luar pengetahuan pihak-pihak yang bertanggungjawab.
“Semestinya berlaku penyelewengan melaksanakan tanggungjawab dalam kerajaan negeri Pahang itu sendiri. Bayangkan hasil hutan dirompak sebelum tanah yang diterokai dijadikan seperti kebun mempunyai hak milik,” katanya.
Haslihelmy berkata demikian pada himpunan aman dan laporan polis Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang bagi membantah penerokaan tanah haram, isu menterbalikkan Jalur Gemilang dan isu memperkasa jawi di Taman Kerang di sini semalam.
Himpunan aman turut disertai beberapa NGO seperti Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Pahang, Pertubuhan Kebajikan Satu Kumpulan (OGG) Pahang, Kelab Anak Pahang dan Sekretariat NGO Pemuda UMNO Malaysia.
Pada 1 Ogos lalu, kerajaan negeri bertegas untuk menangani kegiatan pengusaha kebun durian Musang King di Raub yang didakwa dilakukan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Haslihelmy berkata, kerajaan negeri harus melakukan penguatkuasaan bukan hanya di Raub, malah di seluruh negeri bagi memastikan semua peneroka haram dikenakan tindakan sama.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat NGO Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Faiz Hashim berkata, jangan berkompromi dalam membanteras penerokaan tanah haram.
“Adalah tidak adil hanya peniaga kecil di tepi-tepi jalan yangsebulan atau dua bulan meniaga burger dikenakan tindakan kerana tiada lesen, tetapi tauke-tauke besar dilepaskan.
“Kita sokong usaha kerajaan negeri ini (banteras penerokaan haram) tetapi biarlah menyeluruh dan dilakukan di seluruh negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE