KUALA LUMPUR: Semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) berhak menggunakan lambang parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan datang.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Datuk Dusuki berkata, tidak timbul isu sama ada menggunakan lambang parti masing-masing kerana blok kerajaan PN masih belum berdaftar di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“Tiada masalah menggunakan lambang parti. Kami (Pemuda UMNO) sudah bersepakat untuk bersetuju dalam pengagihan kerusi (bersama Bersatu) yang belum muktamad lagi.
“Jadi dalam konteks ini, Barisan Nasional (BN) berhak menggunakan lambang sendiri dan watikahnya telah pun ditandatangani oleh Pengerusi UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar mesyuarat exco Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan UMNO tidak akan menyertai PN sebelum pakatan politik yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu didaftar secara rasmi bagaimanapun, beliau akan terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama Pas dan Bersatu – yang setakat ini – Bersatu masih menimbangkan keputusan untuk menyertai MN atau tidak.
30 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah selepas mendapatkan perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang membuka jalan kepada PRN DUN di Sabah.
Ia susulan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Musa Aman mendakwa bahawa beliau mendapat sokongan 33 wakil rakyat untuk membentuk kerajaan negeri bagaimanapun, hasrat tersebut tidak tercapai apabila Shafie membubarkan DUN sebelum Musa sempat bertemu Tun Juhar.
Ditanya berhubung isu pengagihan kerusi dengan Bersatu yang sebelum ini bercadang meletakkan 45 calon bertanding di PRN DUN Sabah, belum ada sebarang perbincangan antara kedua-dua parti.
“UMNO dan Bersatu belum berunding. Kalau ada yang kata ia (kerusi) sudah dimuktamadkan, itu hanyalah khabar angin sahaja. Paling penting kita harus bersepakat dalam konteks siapa calon mewakili parti tersebut berasaskan kerusi yang dipertandingkan. Kita tidak mahu berlaku perlawanan tiga penjuru yang boleh merosakkan kesepakatan sesama parti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi menyatakan pendirian untuk tidak menggunakan kuasa dan jawatan yang dipegang bagi membolehkan seseorang mendapat keistimewaan sehingga bercanggah dengan prinsip parti dan undang-undang negara.
Ia susulan tindakan calon Ketua ARMADA Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang dikatakan bersedia menggunakan kedudukan sebagai timbalan menteri belia dan sukan untuk kepentingan politik jika beliau mendapat undi dalam pemilihan calon ketua ARMADA.
“Ia sesuatu yang biasa bagi Bersatu untuk menyediakan surat sokongan tetapi saya tegaskan Pemuda UMNO tidak akan mengizinkan atau merestui sebarang bentuk usaha atau mengguna pakai kedudukan sebagai menteri atau timbalan menteri untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip undang-undang.
“Kalau ada yang mengatakan ini budaya UMNO dahulu, saya nyatakan ia sudah lama dibersihkan,” katanya.