Selimut kereta dengan kain putih - Utusan Malaysia

Selimut kereta dengan kain putih

MOHD. ISA OTHMAN menunjukkan lokasi kemalangan yang meragut tiga nyawa di Jalan Mambau-Port Dickson, berhadapan Surau Al-Muqqarabin, Kampung Mambau, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selimutkan kereta miliknya dengan kain putih sehari sebelum kejadian seolah-olah menjadi petanda buat Noraniza Mohamed Amin, 42, pergi buat selamanya.

Noraniza merupakan salah seorang daripada tiga mangsa yang meninggal dunia dalam satu kemalangan di Jalan Mambau-Port Dickson, berhadapan Surau Al-Muqqarabin, Kampung Mambau di sini awal pagi semalam.

Menurut adik Allahyarham, Norashikin Mohamed Amin, 35, rutin arwah pada setiap pagi ialah membuka pintu surau berkenaan bagi jemaah menunaikan solat Subuh.

Namun, katanya, pada hari kejadian, kakak sulungnya itu meminta ibu mereka, Normah Ma’amor, 69 dan bapanya, Mohamed Amin Hashim, 74, untuk pergi ke surau itu terlebih dahulu.

“Ibu meminta kunci dari kakak dan terus ke surau. Selepas itu ayah pula pergi ke surau disusuli kakak dan kemudian, anak lelakinya, Addaar Quthny.

“Addaar Quthny kemudian berpatah balik ke rumah kerana mengatakan tidak berjumpa dengan kakak saya. Ibu ada memaklumkan ada terdengar bunyi dentuman selepas menunaikan solat sunat namun tetapi tidak syak apa-apa,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di kediaman keluarga tersebut di Kampung Mambau, dekat sini, semalam.

Allahyarham, seorang pegawai bank yang merupakan ibu tunggal meninggalkan empat orang anak, Nur Alia Fatihah Ahmad Fadly 16, Nur Damia Batrisya, 14, Addaar Quthny, 12 dan Nur Qamereena Khalesya, 9.

Tambah Norashikin, selepas solat, ibunya terus balik rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari surau itu kerana bimbang kelibat Noraniza tiada di sebelah ketika solat seperti kebiasaan.

“Sampai rumah mak tengok kakak tiada dan mula menge­syaki sesuatu dan terus ke lokasi kejadian. Ketika itu baru mak tahu salah sorang mangsa ialah kakak,” katanya.

Ujarnya lagi, dia turut dimaklumkan bahawa kakaknya sedang menggengam duit sebanyak RM2 semasa ditemui orang ramai.

“Kakak memang sentiasa pecahkan duit untuk sedekah di surau. Itu yang kami sedih,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi semalam itu, Noraniza yang sedang berjalan kaki ke surau tersebut me­ninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh sebuah kereta jenis Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 61 tahun.

Rempuhan itu turut mengorbankan sepasang suami isteri, yang menaiki motosikal untuk ke tempat kerja iaitu, K. Thamotharan, 44 dan S. Ramadevi, 38.

Menurut Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, kemalangan itu membabitkan dua buah kende­raan iaitu kereta jenis Perodua Myvi serta motosikal jenis Demak dan juga seorang pejalan kaki.

“Setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 61 tahun telah masuk ke laluan motosikal dan me­rempuh motosikal berkenaan mengakibatkan kereta tersebut berpusing lalu melanggar seorang pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, pemandu kereta te­lah ditahan bagi ujian sa­ringan air kencing dan alkohol.

Namun, hasil siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan mendapati pemandu kenderaan tersebut bukanlah kelihatan seperti lelaki berumur 61 tahun tersebut.

“Menurut rakaman percakapan dan pengakuan lelaki tersebut setelah melihat rakaman CCTV, dia mengaku pemandu sebenar adalah anak beliau yang merupakan seorang lelaki berumur 27 tahun.

“Pasukan Risikan dan Operasi Trafik IPD Seremban telah ke lokasi dan menahan suspek.

“Suspek dibawa ke IPD Serem­ban untuk tindakan lanjut dan ujian saringan air ken­cing dan alkohol adalah negatif, suspek akan direman untuk tujuan siasatan,” katanya.

Sementara itu, adik kepada Ramadevi, iaitu S. Sharmila, 33 memberitahu, kakaknya dan abang iparnya itu baru empat tahun berkahwin namun masih belum dikurniakan anak.

“Mereka tinggal sementara di rumah ibu di Taman Kelab Tuanku, Mambau kerana rumah mereka di Taman Rasah Jaya sedang dibaik pulih.

“Kedua-dua mereka bekerja di sebagai pengawal keselamatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban. Kami dapat tahu dalam pukul 6.20 pagi namun biasanya mereka keluar bekerja pukul 5.30 pagi,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN