RM3.8 bilion tunggakan bayaran balik cukai LHDN belum lunas - Utusan Malaysia

RM3.8 bilion tunggakan bayaran balik cukai LHDN belum lunas

NIK Azman Nik Abdul Majid bercakap pada sidang akhbar sempena Pembetangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 1 di Dewan Serbaguna Kompleks F Jabatan Audit Negara, Putrajaya hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Audit Negara mendedahkan tunggakan bayaran balik cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang belum dilunaskan bagi tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun sebelumnya adalah sebanyak RM3.8 bilion.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, LHDN perlu memastikan peruntukan yang disalurkan kerajaan digunakan sepenuhnya bagi bayaran balik cukai taksiran tahun-tahun tersebut.  

“LHDN perlu melaksanakan Proses Membenarkan Cukai Pendapatan Dibayar Dahulu dan Audit Kemudian (Refund First Audit Later-Refal) dan bayaran balik cukai dapat dibuat dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan bayaran pampasan atas kelewatan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 111D Akta 53,” katanya dalam sidang akhbar Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan di sini hari ini.

LKAN mengandungi pengauditan pematuhan kementerian dan Jabatan Persekutuan serta laporan pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan seperti Amanah Raya Bhd., Technology Park Malaysia, UDA Holdings Bhd. dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Sementara itu, bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihaknya mendapati berlaku lebihan bayaran bagi bayaran balik tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM4.38 juta.

Ujarnya, penemuan itu berdasarkan pengauditan pematuhan terhadap pembayaran balik cukai dilaksanakan di JKDM di bawah Kementerian Kewangan.

Oleh itu, beliau mengesyorkan JKDM menjalankan siasatan terhadap syarikat yang membuat tuntutan dan pegawai JKDM yang bertanggungjawab terhadap bayaran balik cukai serta membuat kutipan balik bayaran terkhilaf daripada Orang Kena Cukai (OKC) dengan kadar segera.

Dalam pada itu, bagi Technology Park Malaysia (TPM), kesemua tiga syarikat subsidiari merekodkan kerugian pada 2018 dan dua syarikat subsidiari berada dalam keadaan bermasalah meneruskan perniagaan (potential going concern).  

Katanya, kerugian itu berpunca akibat tiada penyelarasan Standard Operating Policies And Procedures antara aktiviti utama, kewangan dan perjanjian sewaan bagi memastikan operasi syarikat dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

“Pemantauan menyeluruh terhadap syarikat penyewa melalui program keusahawanan tidak dilaksanakan. Kadar syarikat bergraduasi adalah antara kosong hingga 14.3 peratus berbanding syarikat tidak berjaya bergraduasi pada kadar antara 14.3 peratus hingga 45.8 peratus bagi tempoh empat tahun yang dinilai.

“Kadar penghunian premis perniagaan oleh syarikat penyewa menunjukkan aliran penurunan iaitu 77.2 peratus bagi 2016 kepada 59 peratus pada tahun lalu. Deposit sewaan kita dapati tidak seragam antara sebulan hingga tiga bulan tidak menjamin kepentingan TPM. Tahun lalu, sebanyak 157 syarikat penyewa merekodkan baki tunggakan sewaan premis perniagaan berjumlah RM4.36 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya