PUTRAJAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 dianggarkan memerlukan peruntukan kos sebanyak RM186 juta.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr. Azmi Sharom berkata, kos ini termasuk 30,540 petugas yang akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN berkenaan.
Katanya, kos itu melibatkan pengurusan sebanyak 741 buah tempat mengundi yang mengandungi 2,540 saluran dan 56 pusat mengundi awal dengan 73 saluran.
Beliau memberitahu, daftar pemilih pilihan raya yang akan digunakan untuk PRN Sabah ke-16 ini adalah Daftar Pemilih Induk 2019 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2020 yang dikemaskini sehingga 29 Julai 2020.
“Daftar pemilih tersebut mengandungi 1.125 juta orang pengundi yang terdiri daripada 1.104 juta orang pengundi biasa, 9,448 orang anggota tentera dan pasangan, 11,423 anggota polis dan pasangan polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 81 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah Azmi, SPR akan turut menghantar Kad Pengundi kepada semua pengundi Sabah.
Kad ini, katanya, mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan.
“Ia akan memudahkan pengundi untuk mengetahui maklumat pengundian mereka dan melancarkan lagi proses pada hari mengundi serta membantu dalam pematuhan penjarakan fizikal
di pusat-pusat mengundi selari dengan langkah-langkah kawalan penyebaran wabak Covid-19 sebagaimana yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Mulai tarikh 7 September ini, para pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR (www.spr.gov.my) atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.