Reunion antara punca ramai bercerai - Utusan Malaysia

Reunion antara punca ramai bercerai

PERCERAIAN yang berlaku antara ibu bapa menjadi penyebab anak-anak tertekan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes perceraian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat ketara susulan tindakan pasangan suami atau isteri berlaku curang.

Walaupun sepanjang PKP menghendaki suami, isteri dan anak-anak tinggal di dalam rumah bagi mengelakkan wabak Covid-19 namun, kecurangan tetap berlaku dengan adanya alat perhubungan seperti telefon bimbit dan media sosial.

Ia ditambah dengan trend pasangan yang suka mengadakan sesi pertemuan semula atau reunion dengan rakan-rakan lama yang sudah berkahwin dan berkeluarga.

Membuktikan kenyataan itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, pertemuan semula menjadi punca terujinya tahap kesetiaan pasangan apabila suami atau isteri mula berhubung semula dengan rakan lama.

“Bila mereka bertemu semula (misalnya ada suami atau isteri yang pernah menyukai seseorang pada masa lalu), ada pasangan yang saling berkongsi nombor telefon dan membentuk kumpulan melalui WhatsApp tanpa segan silu.

“Mula-mula suka kemudian hubungan menjadi lebih serius…disebabkan adanya media sosial jadi kecenderungan untuk berlaku curang tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan hasil pendedahan daripada Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar, sejumlah 6,569 pasangan bercerai sejak 18 Mac hingga 18 Jun lalu.

Kes perceraian tempoh PKP disifatkan tinggi akibat hilang pendapatan, pengangguran dan tekanan. Untuk rekod, Selangor mencatatkan 1,252 kes perceraian diikuti Kedah (697 kes) dan Kelantan (659) manakala Perlis hanya mencatatkan 104 kes.

Terkini, media melaporkan seorang wanita yang bekerja sebagai pensyarah di universiti awam didakwa mati dijerut oleh suaminya menggunakan tudung disebabkan mangsa ingin memfailkan perceraian. Kejadian itu dipercayai berpunca dengan kehadiran pihak ketiga antara kedua-dua pasangan.

Mengulas lanjut, Fakhrul Azman mengingatkan pasangan suami isteri untuk mengelakkan perkara tersebut dengan mengambil pencegahan awal.

Ini kerana, kata beliau, adalah sukar untuk melepaskan diri sekiranya seseorang sudah dibelenggu dengan perasaan suka dan cinta selain daripada pasangan sendiri.

“Elakkanlah jika perbualan itu ke arah berlaku curang atau bercinta semula…sebelum terperangkap dengan perasaan sayang selain daripada pasangan masing-masing. Kena tahu batas katanya,” katanya.

Senada dengan kenyataan tersebut, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohd. Ridhwan Hussin berkata, beliau tidak menolak bahawa ia adalah hakikat sebenar.

“Sekarang zaman digital, jadi tindakan curang boleh dibuktikan melalui telefon bimbit pasangan atau di aplikasi pesanan ringkas Whatsapp, WeChat malah gambar di galeri telefon.

“Semasa PKP semua orang tidak tahu nak buat apa, tidak keluar rumah, jadi ada pasangan yang buka telefon suami atau isteri dan terbaca mesej-mesej yang tidak baik,” katanya.

Katanya lagi, beliau pernah mengendalikan kes perceraian atas alasan tidak munasabah iaitu terdapat pasangan suami isteri yang bertelingkah semata-mata mahu meletakkan kucing peliharaan di dalam atau di luar rumah sedangkan ia bukanlah punca utama kepada perceraian.

“Suami atau isteri, dia tidak mahu berterus-terang tentang sebab kenapa dia ingin bercerai sehingga kucing yang terpaksa menjadi mangsa. Saya sebenarnya malas nak layan kes-kes remeh seperti ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya