BAYAN LEPAS: Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan pembukaan cawangan kelima di Sungai Ara di sini, Restoran Hameediyah menawarkan makanan percuma kepada pelanggan setia.
Nasi beriani berserta lauk-pauk seperti ayam goreng, hidangan gulai daging serta kambing sebagai penghargaan kepada pelanggan yang menyokong perniagaan ini.
Pengarah Urusan Restoran Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukkor berkata, makanan percuma disediakan bermula pukul 12 tengah hari hingga 6 petang semalam.
“Pelanggan yang datang sempena pembukaan cawangan kelima kami di Sungai Ara tidak perlu bayar,” katanya pada majlis pembukaan cawangan kelima Restoran Hameediyah, di Sungai Ara di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin.
Restoran Hameediyah mempunyai tiga cawangan di Pulau Pinang manakala dua lagi di Kuala Lumpur.
Menurut Ahamed Seeni Pakir, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan pandemik Covid-19, hanya 30 pelanggan dibenarkan berada di dalam restoran pada satu-satu masa.
“Hari ini, kami menyediakan makanan dibungkus kepada pelanggan yang tidak dapat menjamu selera di dalam restoran.
“Restoran ini mampu memuatkan sekitar 80 hingga 100 pelanggan namun dalam keadaan norma baharu jumlah pelanggan dihadkan,” katanya.
Kata beliau, cawangan kelima di Sungai Ara menawarkan ruang yang lebih luas dan selesa kepada pelanggan.
“Restoran ini dua tingkat yang keluasannya sekitar 2,000 kaki persegi dan buat masa ini hanya tingkat pertama digunakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE