SHAH ALAM: Tiga individu termasuk dua beradik direman lima hari sehingga Rabu hadapan bagi membantu siasatan berhubung rasuah berkaitan pembekalan kontrak.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Raden Farah Shirazee selepas permohonan dibuat Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Rasyid Omar di Mahkamah Sesyen Akta Pencegahan Jenayah ( POCA).
Terdahulu, ketiga-tiga suspek berusia 27 hingga 43 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam pukul 10 pagi dengan memakai baju lokap SPRM ditemani pegawai SPRM.
Dalam prosiding reman tersebut, ketiga-tiga individu diwakili Peguam Muaz Zafar.
Pegawai wanita berusia 37 tahun daripada sebuah agensi kerajaan ditahan di Sungkai, Perak kira-kira pukul 11.45 pagi semalam.
Susulan penahanan tersebut, SPRM menahan dua lelaki iaitu adik kepada wanita terbabit dan seorang lagi juga merupakan daripada agensi kerajaan.
Kedua-dua individu terbabit ditahan di Pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 5 petang selepas hadir memberi keterangan.
Menurut sumber, kedua-dua individu daripada agensi kerajaan tersebut menggunakan syarikat milik adik wanita terbabit sebagai proksi bagi mendapatkan bekalan.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek telah bersubahat meminta dan menerima wang suapan RM18,000 daripada sebuah syarikat.
“Wang tersebut sebagai balasan dan dorongan membantu untuk mendapatkan kontrak pembekalan di jabatan kerajaan berkenaan,” kata sumber.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.