PUTRAJAYA: Raptai penuh Hari Kebangsaan ke-63 berjalan lancar di Dataran Pahlawan di sini hari ini.
Acara yang dimulakan pada pukul 8 pagi itu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tiada penyertaan daripada komponen-komponen lain bagi menjaga penjarakan fizikal.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, peserta bersemangat dan melakukan rutin perbarisan dengan penuh disiplin.
Barisan ATM yang membawa panji-panji dan alat bendera berwarna kuning dan hijau menghiasi suasana dataran tersebut seawal pukul 7.30 pagi.
Rejimen ATM memegang tombak lambang pertahanan negara menyambut ketibaan Yang Dipertuan Agong bersama-sama dif kehormat lain.
Sambutan kali ini dengan amalan norma baharu bagi membendung pandemik Covid-19 dengan amalan penjarakan sosial.
Kandungan teknik khas kesan realiti akan dipertontonkan di kaca televisyen memaparkan detik sambutan hari kemerdekaan kepada rakyat negara ini.
Persediaan rapi itu pastinya menimbulkan keterujaan dan menaikkan adrenalin penonton menerusi kaca televisyen.
Bertemakan Malaysia Prihatin, sambutan kali ini diharap mampu menyemai semangat Rukun Negara dalam kalangan rakyat berbilang bangsa agar lebih memahami dan mengamalkan rukun itu dalam kehidupan seharian. – UTUSAN ONLINE