Raja Perlis tuntut kualiti kepemimpinan luar biasa tangani Covid-19 - Utusan Malaysia

Raja Perlis tuntut kualiti kepemimpinan luar biasa tangani Covid-19

TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ketika merasmikan sidang DUN Perlis Ke-14 di Kompleks DUN Perlis, Kangar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Para pemimpin diminta menunjukkan kualiti kepemimpinan luar biasa dengan mencari penyelesaian yang komprehensif dalam menangani penularan semula pandemik Covid-19 di negeri ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, situasi penularan Covid-19 adalah cabaran besar yang perlu pemimpin hadapi dan tangani dengan bijak.

Dalam masa sama, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah, penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha menangani wabak tersebut terutamanya barisan hadapan. 

“Beta juga amat berbangga dengan usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan impak negatif ke atas kehidupan rakyat akibat wabak ini (Covid-19). 

“Inisiatif-inisiatif bijak yang bebas dari perbezaan ideologi politik yang dilaksanakan kerajaan negeri terbukti telah berjaya mengurangkan impak negatif ini ke atas rakyat,” titah baginda ketika merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-14 di Kompleks DUN Perlis hari ini.

Titah baginda lagi, negara pada masa ini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan setiap rakyat wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sebarang kealpaan dalam mematuhi SOP akan mengakibatkan peningkatan semula kes-kes positif Covid-19. Akibat kegagalan sebahagian dari kita mematuhi SOP dalam fasa PKPP ini telah menyebabkan kes-kes positif meningkat kembali.

“Beta ingin menyeru semua rakyat agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan janganlah kita sesekali alpa kerana risiko jangkitan virus ini tetap ada. 

“Jadikan norma baharu sebagai amalan kebiasaan dalam hidup kita. Semoga semua rakyat Perlis sentiasa dilindungi Allah SWT dan dipermudahkan dalam menjalani kehidupan harian,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda berharap persidangan DUN kali ini berjalan baik dan lancar dengan wakil-wakil rakyat perlu mematuhi peraturan, beretika dan berhemah ketika berhujah di dalam Dewan.

Baginda menasihatkan agar wakil-wakil rakyat ini tidak berbalah mengenai perkara kecil yang tidak berfaedah. 

“Sebaliknya berilah tumpuan kepada isu-isu pembangunan, kesejahteraan rakyat dan cabaran-cabaran masa kini dan hadapan dalam merealisasikan aspirasi dan amanah rakyat,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya