PORT DICKSON: Ilmu pengetahuan berkaitan teknologi digital ditingkatkan dalam kalangan anggota koperasi di negara ini menerusi Pusat Techno Lab yang dibangunkan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKM).
Ketua Pengarah IKM, Mohd. Roslan Bani Amin berkata, Pusat Techno Lab yang dikendalikan sepenuhnya oleh pusat ICT IKM itu dibangunkan bermula Oktober ini.
“Kami mahu menjadikan Techno Lab sebagai pusat rujukan kepada pemain-pemain industri koperasi membuat rujukan dan dapat membawa penyedia teknologi mempamerkan kepakaran mereka di Techno Lab dalam masa dua tiga bulan lagi.
“Kami menggalakkan untuk menyertai Techno Lab ini dan sedang bekerjasama dengan penyedia-penyedia industri melibatkan 15 koperasi di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Digitalisasi Dalam Kepimpinan Koperasi dekat sini hari ini.
Seminar itu bertujuan mendedahkan kemampuan revolusi industri keempat (IR 4.0) membantu kepemimpinan ahli lembaga koperasi membuat keputusan dan perancangan perniagaan dengan tersusun dan realistik disamping mengurus koperasi dengan lebih cekap, telus serta amanah.
Mohd. Roslan berkata, Pusat Techno Lab itu ditempatkan di IKM, Jalan Templer, Petaling Jaya, Selangor.
“Ini bagi membolehkan pemain industri koperasi mendapat peluang mempelajari perniagaan secara digital selari dengan hasrat IKM memberi informasi yang cepat kepada anggotanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE