ISKANDAR PUTERI: Sebuah premis yang menjadi pusat operasi bitcoin didapati melakukan penyambungan elektrik secara haram dan hanya membayar bil antara RM30 hingga RM50 sebulan.
Sedangkan nilai berkenaan tidak sama dengan kos elektrik sebenar bagi menjalankan kegiatan itu yang jumlahnya antara RM50,000 dan RM60,000 sebulan.
Pengarah Wilayah Suruhanjaya Tenaga Johor, Nazlin Ab. Alim Sidiki berkata, nilai kerugian itu yang terpaksa ditanggung Tenaga Nasional Berhad (TNB) setiap bulan ekoran kegiatan premis berkenaan dipercayai beroperasi sejak tiga tahun lalu.
“Pada hari ini, kita melakukan serbuan di dua premis menjalankan operasi perniagaan bitcoin yang dikesan melakukan penyambungan elektrik secara haram setelah melakukan risikan selama dua minggu.
“Anggaran kerugian dialami TNB melibatkan bil elektrik adalah sebanyak RM50,000 sebulan bagi premis pertama manakala RM30,000 sebulan bagi premis kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengetuai operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Horizon Hills di sini hari ini.
Operasi bersepadu itu turut melibatkan TNB, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Menurut Nazlin lagi, modus operandi digunakan adalah dengan melakukan penyambungan daripada punca bekalan elektrik secara terus tanpa melalui meter bacaan elektrik.
“Mereka didapati melakukan penyambungan elektrik itu melalui laluan bawah tanah, jadi bacaan meter jauh berbeza dengan penggunaan elektrik sebenar.
“Jumlah penggunaan yang tinggi adalah kerana operasi ‘mining’ bitcoin ini memerlukan bekalan tenaga yang banyak selain turut melibatkan jumlah peralatan yang banyak di setiap premis terlibat,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya akan memanggil pemilik premis dan pendaftar bekalan elektrik di premis terlibat untuk siasatan dan tindakan lanjut akan diambil mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990. – UTUSAN