TANJUNG MALIM: Pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini bermula pagi ini.
Satu saluran mengundi dibuka pada pukul 8 pagi ini untuk proses pengundian melibatkan seramai 267 pegawai dan anggota polis.
Proses pengundian disaksikan ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR).
Pengundi mematuhi garis panduan pencegahan Covid-19 iaitu memakai pelitup muka, menggunakan cecair sanitasi tangan dan menjalani saringan suhu badan.
Peti undi bagi pengundian awal hari ini akan disimpan di lokap IPD Muallim dan pengiraan undi akan dibuat pada Hari Pengundian 29 Ogos ini di pusat pengiraan undi di Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi meninjau proses pengundian pagi ini.
Kawalan lalu lintas dilaksanakan di hadapan IPD Muallim untuk melancarkan pergerakan trafik.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, 59, dari Barisan Nasional (BN) yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.
SPR menetapkan hari mengundi pada 29 Ogos ini.
DUN Slim mempunyai 23,094 pengundi berdaftar. – UTUSAN ONLINE