PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan mewartakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berhubung kewajipan premis perniagaan menggunakan aplikasi MySejahtera bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang menzahirkan kebimbangan berikutan kedegilan pemilik-pemilik premis perniagaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga berlakunya Kluster Sivagangga di Kedah.
Tegasnya, kedai makan berkenaan didapati tidak menggunakan aplikasi MySejahtera mahupun merekod kehadiran keluar masuk serta mencatat suhu badan pelanggan.
“Sekarang ini, kita ada masalah dan cabaran untuk mengesan kontak rapat sebab tiada penggunaan aplikasi MySejahtera atau aplikasi lain (di premis tersebut). Kedua, tiada rekod keluar masuk pelanggan ke restoran tersebut dan nombor telefon mereka dicatatkan.
“Kalau kita tiada rekod tersebut, maka kita akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (Temco) dan mengambil tindakan pencegahan awal kesihatan awam dan kawalan bagi membendung penyakit tersebut.
“Jadi, tindakan sudah dilaksanakan dan kita sekarang akan mewajibkan setiap premis serta pemilik kedai menggunakan aplikasi MySejahtera,” katanya dalam laporan harian perkembangan terkini Covid-19 di sini semalam.
Kluster Sivagangga menular akibat jangkitan import selepas seorang pemilik kedai nasi kandar di Napoh yang juga pemastautin tetap pulang ke Malaysia dari India pada 13 Julai lalu.