NIBONG TEBAL: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri merampas 7,547 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM19,000 dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Wellesley di sini.
Turut disita dua buah lori mengandungi peralatan yang digunakan untuk memproses bahan keperluan harian tersebut dengan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM99,000.
Ketua Penguatkuasa PPDNHEP negeri, Peter J. Berinus Agang berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan dua lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60 tahun.
Beliau berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat risikan yang dibuat sebelum ini.
“Hasil pemeriksaan lanjut di premis tersebut mendapati berlakunya aktiviti pembungkusan minyak masak dalam tong industri 17 kg tanpa kebenaran atau lesen di premis ini.
“Selain itu, kami turut mengesyaki berlakunya elemen penyelewengan terhadap subsidi minyak masak berikutan penemuan sejumlah minyak masak paket bersubsidi 1 kg di premis yang sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, ini adalah kes pertama yang melibatkan penyelewengan subsidi minyak masak di Pulau Pinang tahun ini.
“Kita sedang siasat hubungan dua individu yang ditahan itu dengan kes ini dan dari mana bekalan minyak masak ini diperoleh,” katanya yang memberitahu, minyak masak itu dipercayai untuk edaran di seluruh Seberang Perai Selatan (SPS) atau kawasan sekitarnya.
Tambah beliau, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak akan melakukan kesalahan.
Sabit kesalahan, katanya, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE