KUALA TERENGGANU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu (JSJN) bertekad memerangi dadah habis-habisan termasuk dengan memberi penekanan kepada golongan penagih tegar.
Ketuanya, Superintendan Tium Ming Kung berkata, antara pendekatan diambil adalah mengasingkan penagih tegar dengan baharu.
Kata beliau, langkah itu secara tidak langsung dapat menutup ruang buat penagih baharu terjebak semula dalam kancah penyalahgunaan dadah sekali gus menjalani kehidupan lebih baik.
“Masalah penyalahgunaan dadah di Terengganu agak terkawal tetapi tidak boleh dipandang remeh.
“Oleh itu, kita menggariskan lima visi yang akan diperkenalkan bagi membanteras gejala dadah di negeri ini dengan penekanan diberikan kepada golongan penagih dadah tegar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua JSJN Negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik. – UTUSAN