JOHOR BAHRU: Seorang wanita antara tiga suspek yang ditahan polis disyaki terlibat dalam kegiatan pemburuan haiwan susulan pendedahan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiga suspek yang berusia antara 44 hingga 53 tahun itu telah ditahan di sekitar Kluang, semalam.
“Susulan daripada maklumat diberikan Sultan Johor, kita mengerakkan operasi untuk mengesan pihak terlibat dalam aktiviti pemburuan ini.
“Akhirnya mereka berjaya dikesan dan kemudian ditahan polis di sekitar Kluang pada pukul 10 malam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini semalam.
Kata Ayob Khan lagi, susulan itu pihaknya telah merampas 54 bahagian daging babi hutan, 17 bahagian daging ayam hutan, 10 bahagian daging burung puchong, enam bahagian daging kijang dan dua kepala kijang.
“Dalam operasi itu juga, polis merampas selaras senapang patah, 270 butir peluru, satu buku lesen senjata api dan sebuah kenderaan pacuan empat roda,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ayob Khan menambah, pihaknya sebelum itu telah menahan tiga lelaki yang juga dipercayai terlibat dalam aktiviti pemburuan haiwan menggunakan senjata api di Jemaluang, Mersing.
“Operasi ini dijalankan di tepi Sungai Lenggor, Jemaluang pada pukul 1.30 pagi semalam di mana kita berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 33 hingga 47 tahun.
“Kita turut merampas dua bahagian daging babi hutan, satu trofi duri landak, dua laras senapang buatan sendiri, tiga parang dan sebuah kenderaan pacuan empat roda,” katanya.
Kesemua suspek kini telah direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 8, 8(a) dan 8(b) Akta Senjata Api 1960.
“Polis ingin mengingatkan pemilik lesen senjata api agar tidak melakukan sebarang penyalahgunaan atau pelanggaran syarat lesen atau tindakan akan diambil,” katanya.
Semalam Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka kerana aktiviti pemburuan haram masih berlaku di beberapa kawasan hutan di negeri ini.
Kegiatan itu dilaporkan berlaku di kawasan Endau Rompin dan Kahang, melibatkan haiwan seperti kancil dan landak yang disyaki dijual untuk tujuan perubatan tradisional.
Baginda turut bertitah mahukan dalang disebalik kegiatan pemburuan haram itu serta mereka yang terlibat diheret ke muka pengadilan.
Habis..