KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Perpustakaan Parlimen baharu selepas ia dipindahkan ke Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran yang siap sepenuhnya pada Januari lalu.
Berbanding perpustakaan sebelum ini, kali ini ia dilengkapi dengan kemudahan lebih selesa seperti bilik bacaan bertempat di Blok Utama, kompleks Parlimen.
Mempunyai koleksi monograf, jurnal dan keratan akhbar, pusat ilmu ini penting sebagai menyokong penyelidikan ahli Parlimen dan warga Parlimen selain menjadikan ia sebagai tempat sumber rujukan dalam urusan perundangan, parlimen, pentadbiran kerajaan dan pentadbiran awam.
Selain itu, Perpustakaan Parlimen ini juga mempunyai mempunyai 43,114 koleksi dokumen asal seperti Perundangan Negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Penyata Rasmi Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Aturan Urusan Mesyuarat, rang undang-undang, akta-akta, kertas statut, kertas perintah, laporan jawatankuasa-jawatankuasa, enakmen, ordinan dan warta kerajaan.
Terdahulu, Muhyiddin meluangkan masa melawat dan melancarkan pameran Parlimen: Citra Perundangan Malaysia yang mempamerkan ilustrasi bergambar mengenai Parlimen bagi memperkenalkan kepentingan dan kedaulatan institusi perundangan tersebut.
Pameran itu yang berlangsung mulai hari ini hingga 18 September dibahagikan kepada enam segmen iaitu Menelusuri Sejarah, Citra Perundangan, Koleksi Tinta Emas, Diplomasi dan Hubungan Luar Negara, Speaker Dewan Rakyat dan Ketua Majlis serta Menteri Parlimen. – UTUSAN