BALIK PULAU: Peningkatan kes Covid-19 di beberapa buah negeri di utara termasuk Pulau Pinang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peniaga kecil yang khuatiri ia terpaksa ditutup semula.
Rata-rata melahirkan kebimbangan jika kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik tersebut.
Seorang peniaga kedai haiwan peliharaan, Hasfanizam Hamdan, 35, berkata, ketika Covid-19 mula melanda, dia baharu memulakan perniagaannya di Teluk Kumbar di sini.
“Sebelum ini saya hanya berniaga di rumah dan di tapak-tapak ekspo.
“Hanya pada Januari tahun ini, saya ada peluang buka kedai haiwan namun sempat beroperasi sekejap sebelum PKP dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, ketika PKP hampir semua peniaga menghadapi tempoh sukar kerana sewa premis perlu dijelaskan.
“Selain kedai haiwan, saya jugamenjalankan perkhidmatan fotografi tetapi ketika PKP boleh dikatakan semua tempahan fotografi dibatalkan.
“Kami berharap semua pihak mematuhi arahan agar Covid-19 tidak merebak dan PKP tidak dilaksanakan semula,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Hamdan Ahmad, 60, berkata, perniagaan kraftangan kulit yang diusahakan sejak 25 tahun terjejas teruk setelah PKP dilaksanakan.
“Tempahan pelanggan amat kurang, hanya pada masa ini perniagaan kami dapat bernafas semula.
“Kami berharap tidak akan ada lagi PKP, jadi sama-sama kita patuh arahan kerajaan agar negara pulih daripada pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE