Pengguna TikTok beralih ke YouTube - Utusan Malaysia

Pengguna TikTok beralih ke YouTube

Microsoft dilaporkan dalam perbincangan untuk mengambil alih TikTok. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Ketidaktentuan melibatkan aplikasi video popu­lar TikTok disebabkan campur tangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengancam mengharamkan penggunaannya di negara berke­naan selagi tidak menjual operasi kepada syarikat Amerika, membuatkan ramai pengguna mula beralih arah ke platform lain.

Menurut laporan CNN, kebanyakan pencipta kandungan TikTok yang telah menghabiskan bertahun membina peminat dan karier dalam aplikasi itu mula menyusun langkah ke platform pesaingnya iaitu YouTube.

Dalam masa yang sama, sejak Trump mengancam untuk mengharamkan TikTok, Jumaat lalu, pencipta kandungan turut mula meminta peminat mengikutnya di platform media sosial lain termasuk Instagram, Youtube di samping aplikasi baharu iaitu Triller.

“Ketika ini, semua pencipta kandungan mula beralih arah daripada TikTok ke Triller sehingga menyebabkan aplikasi itu menghadapi masalah,” kata Tati Mitch, satu daripada pencipta kandungan TikTok.

‘Kegilaan’ untuk beralih ke aplikasi baharu menunjukkan betapa landskap media sosial boleh berubah sekelip mata sekiranya pengharaman TikTok di AS berlaku.

Syarikat-syarikat besar se­per­ti Google dan Facebook yang sebelum ini telah ‘me­min­jam’ ciri-ciri TikTok mungkin akan terus mendominasi pasaran digital jika TikTok diharamkan.

Bagi Facebook, situasi berkenaan dilihat tepat pada masanya memandangkan Instagram akan mula melancarkan Reels iaitu klon TikTok di AS dan 50 negara lain.

Pelbagai aplikasi perkongsian video lain termasuk Byte, Dubsmash dan Clash App yang mempunyai sedikit variasi berbanding ciri-ciri asas dalam TikTok juga cuba mencari peluang disebabkan ketidaktentuan menyelubungi TikTok.

Trump telah memberi TikTok iaitu sebuah syarikat aplikasi video China enam minggu untuk menjual operasinya di AS kepada syarikat tempatan, sambil menegaskan bahawa syarikat itu ‘tidak mempunyai perniagaan’ jika gagal berbuat demikian.

Menurut Trump, Microsoft sedang berbincang bagi membeli TikTok yang mempunyai satu bilion pengguna di seluruh dunia yang menggunakan aplikasi itu bagi menghasilkan video selama 60 saat menggunakan tele­fon pintar.

Pegawai AS berkata, aplikasi itu mempunyai risiko keselamatan negara kerana data peribadi milik jutaan rakyat Amerika boleh dikongsi dengan perisikan China.

“Saya tetapkan tarikh sekitar 15 September yang mana pada masa itu ia tidak boleh lagi berniaga di AS,” kata Trump.

Tekanan untuk menjual perniagaan TikTok di AS dan antarabangsa memberi tekanan kepada ByteDance dengan Trump telah menjadikan TikTok sebagai alasan terbaharu dalam pertembungan politik dan perdagangan antara Washington dan Beijing.

Aplikasi itu sudah disiasat atas sebab keselamatan AS kera­na ia mengutip jumlah data peribadi yang besar dan tertakluk untuk berkongsi maklumat itu dengan pihak berkuasa di Beijing. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya