KLANG: Cubaan seorang penganggur yang menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan kegiatan memeras ugut tidak kesampaian apabila dia ditahan di Jalan Pandamaran Jaya, di sini, baru-baru ini.
Suspek lelaki berusia 38 tahun berasal dari Sabah itu ditahan kira-kira pukul 9.20 malam oleh Unit Kereta Peronda Polis (MPV).
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek hadir ke rumah mangsa berusia 52 tahun dengan tidak berpakaian seragam polis.
Katanya, tindakan suspek itu kerana mengesyaki terdapat warga asing di rumah tersebut.
“Suspek mengetuk pintu rumah dengan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis dan meminta mangsa membuka pintu rumahnya tanpa memberitahu tujuannya hadir ke rumah berkenaan.
“Curiga dengan tindakan suspek, mangsa warga Indonesia telah menelefon polis dan beberapa anggota polis telah hadir ke rumah mangsa, menahan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Shamsul Amar, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan kegiatan tersebut seorang diri.
“Malah, tindakan suspek yang cuba memeras ugut merupakan yang pertama dilakukannya dan dia kini direman selama tiga hari sehingga hari ini,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan 170 Kanun Keseksaan.