SHAH ALAM: Hanya kerana telefon bimbit, seorang penganggur maut dipercayai dipukul dengan kayu dalam satu kejadian di taman permainan perumahan Ken Rimba, Seksyen 16 di sini Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul kira-kira pukul 11.30 malam itu, lelaki berusia 27 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam (HSA).
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dihubungi anak saudaranya mendakwa telefon adik kandungnya telah dirampas oleh rakannya dikenali Kak Long dengan alasan berhutang dengan wanita tersebut.
Menurut Baharudin, selepas menghubungi mangsa, anak saudaranya telah pergi ke taman permainan untuk berjumpa dengan Kak Long untuk berbincang.
“Tidak berapa lama kemudian, mangsa sampai ke lokasi yang sama sebelum mengajak keluarga Kak Long berbincang menyelesaikan perkara tersebut serta dalam masa sama menunggu kehadiran wanita terbabit.
“Bagaimanapun, berlaku pertengkaran dan pergelutan antara adik lelaki wanita terbabit dengan mangsa. Namun, pakcik wanita terbabit yang datang dari arah belakang bertindak memukul belakang badan mangsa menggunakan kayu yang diambil daripada but kenderaan.
“Mangsa yang dipukul terus mengalami sesak nafas telah meminta anak saudaranya mengambil ubat sakit jantungnya di rumah. Namun, sejurus tiba di lokasi kejadian, anak saudaranya mendapati mangsa tiada dan dimaklumkan dihantar ke hospital oleh pakcik wanita terbabit.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital oleh doktor sebelum anak saudaranya membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Baharudin, bertindak atas laporan, pihaknya telah menahan lima suspek berusia 14 tahun hingga 37 tahun kelmarin pada pukul 7.50 pagi.
“Pemeriksaan mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes-kes samun, curi motosikal dan juga dadah.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada sebuah telefon bimbit milik anak saudara mangsa yang diambil oleh salah seorang daripada keluarga suspek,” katanya.
Jelasnya, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE