Penduduk empat mukim di Kedah tanggal gelang merah jambu - Utusan Malaysia

Penduduk empat mukim di Kedah tanggal gelang merah jambu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Lebih 4,000 penduduk di empat mukim di daerah ini dan Padang Terap mula menanggalkan gelang merah jambu yang dipakai mereka selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) ditamatkan hari ini.

Penduduk tersebut memakai gelang merah jambu selepas mereka melakukan saringan Covid-19 bagi Kluster Sivagangga sejak pelaksanaan Temco di mukim berkenaan pada 3 Ogos lalu.

Empat mukim terbabit ialah Mukim Ah, Mukim Hosba dan Mukim Binjal di Kubang Pasu dan Kampung Ulu, Mukim Padang Sanai di Padang Terap.

Pelaksanaan Temco di empat mukim tersebut sepatutnya berakhir pada 30 Ogos ini, namun ditamatkan lebih awal.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, keputusan itu mengambil kira kesemua yang terlibat telah disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di Klinik Kesihatan Napoh di sini mendapati penduduk mula datang ke klinik itu untuk menanggalkan gelang merah jambu itu bermula pada pukul 8 pagi.

Penduduk juga boleh menanggalkan gelang masing-masing di beberapa lokasi yang telah ditetapkan seperti Taman Seri Hosba, Masjid Kampung Cherok Mokkan, Masjid Binjai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Megat Dewa.

Penduduk yang menanggalkan gelang itu akan mendapat pelepasan kuarantin bagi kawasan Temco Kluster Sivagangga. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN