Pendedahan 101 projek: Kementerian Pengangkutan tertinggi rundingan terus  - Utusan Malaysia

Pendedahan 101 projek: Kementerian Pengangkutan tertinggi rundingan terus 

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menerima projek rundingan terus tertinggi di antara 101 projek semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini dengan nilai RM4.47 bilion.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu, ini diikuti Kementerian Pertahanan sebanyak RM900.86 juta dan Kementerian Dalam Negeri sebanyak RM517.68 juta.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia pula menerima sebanyak RM380.12 juta dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak RM170.79 juta.

“Merujuk kepada soalan mengenai perolehan kerajaan secara rundingan terus semasa

pemerintahan kerajaan terdahulu, saya telah menjawab di Parlimen pada 24 Ogos lalu semasa ucapan penggulungan Rang Undang-undang Pembiayaan Kerajaan (Covid-19) bahawa perolehan secara rundingan terus dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan. 

“Ini adalah berdasarkan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972) dan pekeliling-pekeliling perbendaharaan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, dalam beberapa hari lalu, terdapat permintaan dibangkitkan berkaitan perkongsian senarai 101 maklumat projek yang telah diluluskan melalui proses rundingan terus ini. 

“Atas dasar mendokong urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran, senarai tersebut disertakan,” ujarnya.

Bagi senarai projek, antara projek yang didedahkan adalah perkhidmatan rangkaian 1PDRM Net untuk Polis Diraja Malaysia bernilai RM150.86 juta di antara Kementerian Dalam Negeri dengan Telekom Malaysia.

Turut didedahkan hak siaran Piala Dunia Fifa World Cup-Rusia dengan nilai RM29.9 juta di antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan Sports Media & Distributor Sdn. Bhd.

Selain itu, projek buku teks kurikulum standard sekolah rendah semakan tahun tiga, tingkatan tiga dan buku teks digital interaktif di antara Kementerian Pendidikan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka bernilai RM70 juta.

Terdapat projek percetakan buku aktiviti murid bagi modul pendidikan keselamatan jalan raya di antara Kementerian Pendidikan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka bernilai RM6.765 juta.

Bagi projek di antara Kementerian Kewangan dengan Strateq Sdn. Bhd. iaitu perkhidmatan pengurusan pusat data 1GFMas di Pusat Data Sektor Awam, projek berkenaan bernilai RM6.177 juta. 

Kementerian Kewangan turut mendedahkan kos Pameran Hutan Khazanah Negara di antara Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dengan Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. yang bernilai RM3.413 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN