IPOH: Seorang warga emas dikhuatiri sesat semasa mendaki Gunung Korbu yang berketinggian 2,183 meter bersama seorang rakan di sini hari ini.
Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan lelaki berusia 68 tahun dijalankan pagi ini oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh diketuai Komander Operasi, Saiful Habtur Rahman Shakirin.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Perak dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pukul 10.24 malam tadi.
Menurut kenyataan tersebut, Tee Kong Tiong bersama rakannya yang berusia 42 tahun mendaki gunung berkenaan pada Jumaat lalu dan mereka bermalam di Kem Seroja yang terletak pada ketinggian 800 meter (m).
“Mereka kemudian meneruskan pendakian pada Sabtu lalu menaiki puncak Gunung Gayung yang berketinggian 2,173m seterusnya ke Gunung Korbu,” ujar kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, mangsa dipercayai hilang pada sebelah petang di Gunung Korbu ketika berpatah balik menuju ke Kem Seroja.
Sehingga pagi tadi mangsa masih belum ditemui dan gerakan SAR masih diteruskan. – UTUSAN ONLINE