KUALA LUMPUR: Dakwaan sesetengah pihak bahawa penahanan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bermotif politik adalah tidak berasas.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang (gambar) berkata, tangkapan yang dilakukan terhadap Setiausaha Agung DAP itu berdasarkan fakta dan bukti hasil siasatan SPRM.
Tegasnya, tidak timbul isu ‘penganiayaan’ kerana setiap individu yang disiasat atau ditahan SPRM mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“SPRM tidak akan bertindak sesuka hati. SPRM mengambil tindakan sama terhadap mana-mana individu termasuk orang biasa atau ahli politik. Langkah seterusnya bergantung kepada mahkamah,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak termasuk Guan Eng sendiri berhubung penangkapan dibuat SPRM kelmarin bermotifkan politik.
Abu Zahar berkata, pihaknya selaku badan bebas yang memantau fungsi dan operasi SPRM akan memastikan segala langkah diambil suruhanjaya itu berdasarkan ketelusan dan undang-undang sedia ada.
Jelas beliau, setiap tindakan diambil SPRM tidak sepatutnya dipersoalkan kerana mengikut prosedur suruhanjaya tersebut.
“LPPR akan pastikan pegawai SPRM menjalankan tugas dengan telus dan terbuka tanpa fear atau favour (takut atau berat sebelah) pada mana-mana pihak. Jika ada proses siasatan yang mendatangkan kecederaan, sila buat laporan sewajarnya,” tegas beliau.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam berkata, keputusan untuk menangkap seorang suspek bergantung pada budi bicara pegawai penyiasat dan diperuntukkan di bawah undang-undang.
Kata beliau, Guan Eng bukan ahli politik pertama yang ditahan pihaknya malah tindakan yang sama turut diambil dalam kes yang melibatkan ahli politik lain, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.