Pemandu mabuk makin 'naik lemak' - Utusan Malaysia

Pemandu mabuk makin ‘naik lemak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu pemandu mabuk semakin menjadi-jadi apabila sebanyak 1,431 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun ini kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

Lebih mengejutkan, itu hanya statistik untuk tempoh enam bulan pertama bermula Januari hingga Jun lalu.

Jumlah itu semakin membimbangkan kerana berbanding sepanjang tahun lalu, seramai 1,449 individu ditahan manakala bagi tahun 2018 melibatkan 1,589 tangkapan.

Pada 16 Julai lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menggegarkan Dewan Rakyat dengan mengusulkan Rang Undang-Undang untuk meminda akta memberi hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk.

Bagaimanapun, usul tersebut tidak menghalang si pemabuk untuk ‘melepaskan’ ketagihan dan kemudian memandu kenderaan.

Tabiat buruk tersebut mengakibatkan puluhan nyawa melayang dengan antaranya menemui ajal ketika usia muda dan sebahagian lagi ketika keluar mencari rezeki.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Azisman Alias, sebanyak 12 kes kemalangan maut direkodkan untuk enam bulan tahun ini dan jumlah tersebut meningkat berbanding sepanjang tahun lalu iaitu sembilan kes.

Menurutnya, bagi kemalangan cedera pula, sebanyak 23 kes berbanding 15 kes pada 2019.

“Sebanyak 27 kes dalam siasatan manakala lapan kes telah dituduh di mahkamah.

“Kes tahun ini menunjukkan peningkatan ketara jika dibandingkan dengan tahun lalu. Ini jelas menunjukkan si pemabuk tidak gentar dengan undang-undang yang sedia ada.

“Kita memberi beberapa cadangan kepada Kementerian Pengangkutan dan berdasarkan usul cadangan dibentang bulan lalu, kami gembira kerana semua usul kami akan dilaksanakan,” ujarnya.

Yang pasti masyarakat terutama keluarga mangsa-mangsa mabuk mengharapkan agar undang-undang itu dapat dipinda secepat mungkin dan tidak akan ada lagi nyawa melayang akibat penyalahgunaan alkohol.

Ini menimbulkan kebimbangan malah pelbagai reaksi dan pandangan bagi mendesak pihak kerajaan meminda atau mengetatkan undang-undang berkaitan kesalahan tersebut.

Pada 16 Julai lalu, antara usul dicadangkan di Dewan Rakyat ialah meminda hukuman penjara daripada dua hingga 10 tahun kepada penjara 15 tahun bagi kesalahan pertama dan penjara 20 tahun untuk kesalahan kedua.

Seterusnya, hukuman denda turut dipinda, daripada tidak kurang RM5,000 hingga RM20,000 kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan RM150,000 untuk kesalahan yang kedua.

Tempoh penggantungan lesen turut dilanjutkan dari 10 tahun dipinda kepada 20 tahun. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya