HULU TERENGGANU: Seorang pelajar kolej penerbangan Admal mati lemas ketika menyelamatkan dua jirannya di Sungai Kelemin, Felda Mengkawang di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.10 petang itu, Faris Iskandar Mohd. Radhi, 19, tenggelam selepas menyelamatkan jirannya yang masing-masing berusia 11 dan 28 tahun.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian mangsa bersama 12 individu lain iaitu ahli keluarga dan jirannya dari Losong, Kuala Terengganu berkunjung ke lokasi berkenaan untuk berkelah sempena cuti Maal Hijrah.
Katanya, rombongan itu tiba di Sungai Kelemin pada pukul 1 petang dengan menaiki pacuan empat roda.
“Selepas terdengar jeritan dua jiran lelakinya yang sedang mandi meminta tolong, mangsa terus terjun dan berjaya menyelamatkan kanak-kanak berusia 11 tahun.
“Faris kemudian kelihatan penat lalu tenggelam ketika mahu membantu seorang lagi jirannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, operasi mencari dan menyelamat Faris digerakkan anggota bomba serta penduduk kampung.
Katanya, mayat mangsa ditemui di dasar sungai tidak jauh dari lokasi terakhir dia dilihat pada pukul 7.33 malam.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat.
Sementara itu, bapa Faris, Mohd. Radhi Kamarudin, 41, berkata, dia tidak menyangka tindakan anaknya sering memuat naik status berkaitan akhirat di aplikasi WhatsApp sejak seminggu lalu menjadi petanda dia pergi buat selamanya.
“Saya rasa tidak sedap hati apabila membaca status anak saya sebelum ini tetapi tidak mengambil pusing kerana menganggap perkara biasa untuk remaja seusianya.
“Anak saya seorang pendiam tetapi sikapnya berubah dan banyak memberi nasihat serta mengingatkan kawan-kawan tentang akhirat seolah-olah tahu ajalnya dekat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu. – UTUSAN ONLINE