KOTA TINGGI: Seorang pegawai tentera darat berpangkat Mejar merupakan antara enam anggota penguat kuasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membantu ahli jenayah terancang Geng Otong.
Selain Zaifol Abdul Hamid, 43, turut didakwa adalah seorang lagi anggota tentera berpangkat sarjan iaitu Mohammad Riduan Razali, 35.
Turut didakwa empat anggota polis melibatkan berpangkat koperal dan lans koperal iaitu Hong Tiong Khim, 24; Saddam Hussen Ismail, 29; Muhamad Safuan Taharin, 29 dan Mohd. Ariff Mustafa, 54.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zahilah Mohammad Yusoff.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa membantu ahli kumpulan jenayah Geng Otong di Daerah Kota Tinggi antara pada 28 September 2017 hingga April 2020.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd. Ghani dan Rohaiza Abd. Rahman.
Dalam prosiding itu, Saddam Hussen dan Tiong Khim diwakili peguam Lydiana Mansor manakala Muhamad Safuan dan Zaifol pula diwakili peguam Ahmad Yusri Ahmad Fuad.
Bagi tertuduh Mohd. Ariff diwakili peguam Jefri Jaafar dan peguam Farid Aziz mewakili tertuduh Mohammad Riduan.
Mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh dan menetapkan tarikh 15 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini dilaporkan berjaya menumpaskan sepenuhnya kegiatan penyeludupan migran terbesar di negara ini dengan melumpuhkan tiga sindiket penyeludupan utama menerusi Op Benteng: Covid-19 di Johor, Perak dan Pulau Pinang.
Sejurus itu pada 2 Julai lalu, 51 orang termasuk 25 warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang yang mendalangi sindiket penyeludupan pendatang asing antara 2015 hingga tahun ini.
Mereka adalah anggota sindiket penyeludupan manusia membabitkan tekong darat, ejen, penjaga rumah penampungan transit selain transporter. – UTUSAN ONLINE