SHAH ALAM: Seorang pegawai Jabatan Imigresen bakal dipenjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat katering April lalu.
Tertuduh, Amirul Salamat,41, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rihaida Rafie selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Amirul merupakan pegawai dari Bahagian Khidmat Pengurusan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya didakwa menerima wang berjumlah RM749.80 daripada seorang wanita.
Bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima wang tersebut daripada sebuah syarikat katering ke dalam akaun miliknya yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tugas-tugas rasmi sebagai penjawat awam di Jabatan Imigresen Malaysia.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Bandar Bukit Mahkota, Kajang dekat sini pukul pukul 4.16 petang pada 3 April lalu.
Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab menawarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah.
Peguam mewakili tertuduh, Nur Fazrin Ahmad memohon wang jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan berikutan perlu menyara tiga anak masih bersekolah yang berusia sembilan hingga 16 tahun selain isteri tidak bekerja.
“Anak guam juga perlu menyara ibu bapa mentua di Sabah dan mempunyai penyakit asma dan diabetis kronik.
“Saya mohon mahkamah mengurangkan wang jaminan paling minimum RM3,000 kerana anak guam saya sehingga kini masih bekerja dan menerima gaji harian sahaja,” katanya.
Hakim Rihaida membenarkan permohonan pendakwaan beserta syarat tambahan dan menetapkan ikat jamin RM5,000 serta tarikh jatuh hukum 18 Ogos ini. – UTUSAN