GEORGETOWN: Lagi tular gambar individu memakai gelang tangan merah jambu pengesanan Covid-19 berada di tempat meletak kereta dipercayai berhampiran sebuah rumah ibadat di Bukit Bendera di sini hari ini.
Bagaimanapun, kali ini bukan lagi dikatakan gambar seorang individu tetapi pasangan lelaki dan wanita menerusi satu hantaran yang dikongsi dalam laman sosial, Facebook, Sepang Viral.
Paparan yang dimuat naik pengguna Facebook itu mendakwa telah terserempak dengan pasangan yang memakai gelang tangan merah jambu semasa berselisih di tangga keluar dari pusat pelancongan berkenaan.
Kata hantaran itu lagi: “Then (kemudian) dah (sudah) naik atas baru perasan yang tag tu ada tulis High Risk.”
Hantaran tersebut telah mendapat pelbagai reaksi sekali gus mengundang kemarahan ramai pihak termasuk tidak kurang juga mengecam tindakan pasangan terbabit.
Seorang netizen, Umira Ira telah meninggalkan komen: ” Polis doh (sudah) bagi tahu. Jangan ambil gambar sahaja. Ambil video dan terus call (hubungi) polis.”
Bukan setakat itu, ada juga pelayar turut meninggal komen memaki hamun dengan perkataan kesat terhadap pasangan terbabit. – UTUSAN