Pak Ya mahu kibar Jalur Gemilang hingga akhir hayat - Utusan Malaysia

Pak Ya mahu kibar Jalur Gemilang hingga akhir hayat

ZAKARIA Lebai Harun atau Pak Ya menghiasi kereta Proton Iswara Aeroback miliknya dengan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan di Kampung Tebuk, Simpang Empat, Arau Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Nama ‘Pak Ya Merdeka’ bukanlah asing bagi penduduk di negeri ini kerana saban tahun menjelang sambutan Hari Kebangsaan, kereta jenis Proton Iswara Aeroback miliknya dihias indah dengan Jalur Gemilang.

Sejak 2008, Pak Ya atau nama sebenarnya Zakaria Lebai Harun, 58, dari Kampung Tebuk, Simpang Empat di sini tidak pernah berkira wang ringgit untuk menghiasi keretanya dengan puluhan Jalur Gemilang mengikut tahun kemerdekaan.

Pak Ya berkata, dia akan terus menghiasi keretanya itu dengan Jalur Gemilang sehingga akhir hayat bagi menghidupkan suasana kemerdekaan.

“Melihat puluhan bendera berkibar megah ketika kereta berada di atas jalan raya membuatkan hati saya berasa cukup puas.

“Kita hidup aman damai di negara tercinta ini, apa salahnya kita tunjukkan rasa cintakan tanah air dengan mengibar Jalur Gemilang agar suasana lebih meriah setiap kali menjelang sambutan kemerdekaan,” kata peniaga tersebut ketika ditemui di sini semalam.

Tambah Pak Ya, ketika membeli kereta tersebut pada 2008, dia menghabiskan hampir RM1,000 untuk menghias kenderaannya itu dengan Jalur Gemilang.

“Tahun demi tahun, peruntukan saya menghias kereta ini sudah makin berkurangan apabila bendera sudah penuh di kenderaan. Selain itu, saya turut mengibarkan bendera semua 14 negeri di kereta saya.

“Tahun ini, kita menyambut sambutan kemerdekaan ke-63, jadi sebanyak 63 Jalur Gemilang dipasang di kereta. Pada 2016, saya pernah memenangi tempat kedua dalam pertandingan kereta berhias sempena kemerdekaan selain beberapa penghargaan lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN