KUALA LUMPUR: Sejak berlakunya pandemik, sebanyak 7.6 million dan 425,000 kematian direkod disebabkan virus Covid-19. Dalam April dan Mei tahun ini, kebanyakan kematian berlaku di lima negara di Eropah, Amerika Syarikat, Itali, United Kingdom, Sepanyol dan Perancis.
Ketika artikel ini disediakan, Brazil telah memasuki carta kelima teratas menggantikan United Kingdom.
Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam memerangi Covid-19. Berdasarkan testimoni dalam laporan, kejayaan itu kerana kesiapsiagaan negara menghadapi pandemik, kebolehan mendapatkan maklumat kontak bagi melindungi kesihatan awam dan respons penjagaan kesihatan di peringkat pertama serta sebuah sistem yang memberi fungsi pengajaran.
Berdasarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pandemik Covid-19 meningkatkan kadar pengangguran dalam negara sebanyak 42 peratus dalam suku pertama tahun ini. Kadar pengangguran dijangkakan menjadi empat peratus berbanding 3.2 peratus pada krisis ekonomi negara Asia tahun 1997 dan 3.7 peratus ketika kemelesetan ekonomi pada 2018.
Kadar pekerja diberhentikan dijangka sama seperti tahun 1997 kerana langkah pre-emptif termasuk Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU) yang dilakukan kerajaan untuk mengelakkan pembuangan pekerja.
Ketika semua mata tertumpu kepada pekerja barisan hadapan yang memberikan sumbangan terbaik dalam memerangi pandemik Covid-19, rakyat juga harus sedar bahawa kesan pandemik itu bukan hanya kepada kesihatan orang ramai malah kepada ekonomi rakyat Malaysia.
Ketika kita mengiktiraf mereka yang mendapat perhatian daripada umum, masih ada seorang individu yang terus senyap mengetuai tugasan bagi memastikan rakyat kekal mempunyai pekerjaan dan menyediakan pekerjaan kepada mereka yang memerlukannya.
Sejak pengumuman Prihatin dan seterusnya pakej rangsangan Penjana, di bawah kepemimpinan Menteri Sumber Manusia yang juga ketua bersama Pasukan Petugas Kebolehan Nasional dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri M. Saravanan melalui inisiatif Penjana HRDF dilancarkan pada 22 Jun berjaya mendapatkan pekerjaan untuk 15,215 pencari kerja dan diharapkan dapat memenuhi sasaran 40,000 orang yang bekerja pada Disember 2020.
Peratusan pengangguran dalam kalangan rakyat menurun sebanyak 0.4 peratus daripada 5.3 peratus pada Mei kepada 4.9 peratus pada Jun.
Saravanan adalah ahli Parlimen untuk Tapah dan beliau juga Timbalan Presiden MIC. Parti itu telah lama menjadi suara rakyat Malaysia keturunan India yang terdiri daripada 7.3 peratus penduduk merangkumi Hindu, Buddha, Sikh, Kristian dan Muslim (Jabatan Perangkaan Malaysia 2010).
Seperti rakan-rakannya dalam MIC, Saravanan adalah sebahagian daripada komuniti minoriti dalam negara dan memimpin sebuah parti yang mewakili kaum minoriti.
Sehubungan itu, beliau sering diperhati rapat oleh mereka yang dalam golongan majoriti. Ini bermakna kesalahan kecil boleh dilihat besar dan perlu sentiasa ‘lebih baik daripada yang terbaik’, lebih bijak daripada yang bijak, lebih boleh diharap daripada yang boleh diharap dan lebih berbakat daripada yang berbakat demi penghargaan yang lebih mudah dikecap orang lain.
Apakah kualiti seorang wira tidak didendang? Kerendahan diri adalah nilai yang menjadikan seorang wira tidak didendang; jarang sekali insan sebegini membangga diri tentang kejayaannya kerana bagi mereka, kecemerlangan itu lumrah pekerjaannya.
Sejak pelantikannya sebagai Menteri Sumber Manusia, Saravanan menjalankan tugas dengan senyap. Komitmen beliau terhadap tanggungjawab yang diamanahkan menjadikan pelbagai kejayaannya tidak menjadi buah mulut orang. Malah dalam banyak hal, beliau tidak berhenti selepas berjaya sekali, sebaliknya terus bergerak laju mencipta kejayaan lain.
Pemimpin berwibawa biasa lahir dalam tempoh krisis, seperti lahirnya Saravanan sebagai wira negara pada ketika ini. Beliau secara konsisten memberi amaran kepada majikan yang mengambil jalan mudah dengan mengambil pekerja asing sedangkan rakyat Malaysia mampu melakukan tugas dengan lebih baik. Mereka hanya mahu diberikan peluang.
Tahun ini rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan dengan tema ‘Malaysia Prihatin’, tema yang dipilih demi mengiktiraf jasa seluruh rakyat yang memaparkan sikap penyayang, keazaman yang tinggi serta kesabaran dalam menghadapi ujian getir Covid-19.
Kita sering ditanya tentang makna merdeka. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menyelami makna kemerdekaan dengan lebih dalam. Dalam kita mensyukuri kesempatan lahir dalam negara seindah Malaysia, pernahkah kita menyoal diri sendiri tentang makna kemungkinan dan kebolehupayaan dalam negara ini? Mampukah kita mengecap kejayaan tanpa melihat status ekonomi, warisan, kebudayaan, bangsa atau agama? Bagaimana kita menyantuni yang kurang bertuah?
Sebagai sebuah negara, kita mungkin tidak pernah berada dalam perpecahan yang sedalam sekarang. Kita kini mungkin berada dalam fasa pencarian diri dan menetapkan kedudukan sendiri dalam tanah sekangkang milik kita ini, dalam semesta yang menempatkan diri kita ini. Ada yang berkata: “Nilai ketamadunan terletak pada layanannya kepada ahlinya yang paling lemah”.
Mungkin ada yang tidak sedar pada mulanya, namun telah terjadi beberapa kali dan mungkin akan terjadi lagi nanti, apabila kita benar-benar bersyukur bahawa perlindungan yang kita berikan kepada warga yang lemah dan minoriti akhirnya menyemai kemungkinan untuk kita melahirkan seorang wira, baik berdendang atau tidak. – UTUSAN ONLINE