ALOR SETAR: Seorang nelayan maut selepas cedera parah di kepala akibat terhantuk pada kayu pancang ketika menaikkan pukat di atas sebuah bot di kawasan perairan Pulau Bunting, Yan dekat sini awal pagi ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 3.25 pagi.
Menurutnya, sebelum sebuah bot bersama lima anggota digerakkan ke lokasi yang terletak pada kedudukan lima batu nautika barat Pulau Bunting.
Katanya, Mohd. Radzi Che Omar, 32, dari Perak yang tidak sedarkan diri kemudian dibawa ke jeti Feri Kuala Kedah di sini.
“Mangsa selepas itu diserahkan kepada pegawai perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius pada kepala dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN