PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memastikan keadilan terhadap Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim terus ditegakkan.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin menegaskan, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu usaha polis mengkaji semula siasatan dan saksi-saksi bagi kes tersebut.
“Kementerian akan membantu pihak penyiasatan sepenuhnya walaupun buat masa ini, tiada dapatan baharu untuk dipersembahkan, namun mungkin ada saksi-saksi baharu akan dipanggil.
“Kita minta kali ini dipertingkatkan lagi siasatan dan diteliti lagi semula dan ada saksi-saksi baharu yang boleh dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Korban JPBM 2020 di Ibu Pejabat JBPM di sini semalam.
Pada majlis itu, sebanyak 13 ekor lembu ditumbangkan termasuk empat ekor sumbangan Zuraida, dua ekor daripada timbalannya, Datuk Sri Dr. Ismail Abdul Muttalib serta individu perseorangan.
Kesemua daging korban tersebut diagihkan kepada hampir 200 asnaf sekitar Putrajaya, Pusat Tahfiz Taman Putra Perdana, asnaf JBPM serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Zuraida menambah, komitmen kementerian dan JBPM itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Koroner September tahun lalu yang memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian boleh diterima serta ada asas.
Menurut Dr. Shahrom, pihaknya menolak teori dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Hafizam Hasmi yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dilanggar.
Selain itu, ia turut disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Amir Radzi Ab Ghani.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ampang itu berkata, pihak kementerian akan menyentuh mengenai siasatan kes kematian Muhammad Adib dalam sesi penggulungan menteri dalam Dewan Rakyat.
Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya, Selangor. – UTUSAN