KANGAR: Pegawai polis yang maut selepas dirempuh motosikal ditunggangi remaja dipercayai di bawah pengaruh dadah di Jalan Padang Katong malam tadi memberitahu isterinya yang dia mahu makan lagi sekembalinya daripada menyertai satu operasi.
Sebelum keluar, dia sempat menikmati makan malam bersama isterinya itu dan anak tunggal mereka yang berusia empat bulan.
Nur Iwana Yazid, 34, berkata, suaminya itu dilihat seperti hendak cepat dan tidak menambah nasi ketika makan malam.
“Dia cuma pesan selepas balik dari operasi nanti, dia nak makan lagi,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Padang Pauh, Paya di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9.50 malam semalam, Inspektor Khairil Muzzammir Abdullah Sani, 33, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kangar itu diseret sejauh 25 meter sebelum melanggar tiang telefon.
Nur Iwana yang bekerja sebagai pegawai psikologi di Jabatan Kesihatan Negeri Perlis berkata, dia juga bertanya sama ada mahu dihantar ke IPK kerana hujan turun sebelum itu tetapi dia menolak atas alasan hujan sudah berhenti.
“Kira-kira pukul 9.30 malam dia keluar dengan dengan memakai baju sejuk warna merah dan itulah kali terakhir saya melihatnya,” katanya.
Katanya, walaupun mereka sudah berkahwin selama empat tahun, namun mereka hanya tinggal bersama sejak dua tahun lalu kerana sebelum ini suaminya itu bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, Sabah.
Jelasnya, Khairil sangat teruja apabila mereka menimang cahaya mata pertama, Adam Mikhael pada April lalu selepas empat tahun berkahwin.
“Saya reda dengan dugaan ini dan sekurang-kurangnya saya ada Adam Mikhael sebagai pewaris bapanya untuk mengubat rindu pada arwah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, arwah merupakan seorang pegawai yang sangat berdedikasi dalam kerja dan disenangi oleh pegawai dan anggota yang lain.
“Beliau baru sahaja balik dari kursus di Putrajaya dalam tiga hari lepas dan terus masuk kerja. Kami memang merasakan kehilangan seorang pegawai yang sangat rajin,” ujarnya. – UTUSAN