TANJUNG MALIM: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akur dengan kekalahan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang disokong parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Presiden (Penaja) Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sejak dari awal pihaknya sudah menjangkakan menghadapi saingan daripada Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, BN mempunyai jentera kempen yang mantap dengan sumber tanpa had selain sebagai kerajaan negeri dan Pusat.
“Mereka mampu mengurniakan macam-macam kepada rakyat masa mengundi, contohnya geran-geran tanah telah dikurniakan. Kami tak boleh buat begitu.
“Kalau kita ambil kira kekangan itu, saya rasa keputusannnya memang betullah. Dapat lebih 2,000 undi, kita tak hilang deposit seperti yang diramalkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengenai kemenangan BN di semua 13 Pusat Mengundi Daerah (PDM) termasuk enam PDM kawasan bukan Melayu yang parti itu kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mukhriz berkata, ia mungkin disebabkan di sini cuma pilihan raya kecil.
“Pengundi bukan Melayu mungkin nak kekalkan wakil rakyat daripada parti sedia ada kerana wakil rakyat yang memihak kerajaan mendapat pelbagai peruntukan dari kerajaan negeri dan kerajaan Pusat,” katanya.
Mengenai undi orang muda, Mukhriz berkata, dianggarkan 35 peratus daripada mereka tidak keluar undi semalam.
“Ini menunjukkan tidak benar BN kata undi orang muda sudah kembali kepada mereka kerana mereka ada di sini tapi tak keluar mengundi,” katanya.
Pada PRK Slim kelmarin, BN mempertahan kerusi DUN Slim dengan majoriti 10,945 undi.
Calon BN, Mohd. Zaidi. Aziz meraih 13,060 undi, mengatasi dua calon Bebas, Amir Khusyairi dan S. Santharasekaran, 44, masing-masing memperoleh 2,115 dan 276 undi. – UTUSAN ONLINE