MPK sedia 500 petak penjaja - Utusan Malaysia

MPK sedia 500 petak penjaja

Ng Sze Han (dua kiri) bertanya sesuatu kepada dua penjaja warga emas yang turut menerima lesen berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dalam membantu peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19, Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menyediakan 500 petak penjaja di beberapa lokasi bagi menempatkan penjaja tanpa lesen di sekitar daerah ini.

Yang Dipertuanya, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, pemilihan lokasi perniagaan yang disediakan dipilih dengan menitikberatkan keselamatan iaitu tidak mengganggu lalu lintas.

“Pada peringkat fasa pertama ini,  kita telah meluluskan 35 permohonan penjaja yang mana mereka menerima Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid-19. Mereka ini hanya perlu membayar sewa bulanan kepada MPK hanya RM12 sebulan sahaja.

“Pemberian Lesen Penjaja Sementara ini akan diteruskan dari masa ke semasa kepada penjaja yang berkelayakan dan mematuhi syarat,” katanya dalam majlis Penyerahan Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid-19 peringkat MPK di sini hari ini. 

Terdahulu, majlis penyerahan lesen sementara kepada penjaja diserahkan oleh Pengerusi 

Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Sementara itu, salah seorang peniaga, V. Vejayakumar, 60, berkata, sebelum ini dia yang menjual air kelapa sering didatangi penguat kuasa dan diberikan amaran kerana berniaga di tapak yang tidak dibenarkan dan tanpa lesen. 

“Selepas ini, saya tidak perlu lagi berniaga dalam ketakutan bila nampak pihak berkuasa melakukan rondaan. 

“Sudah lama saya memohon lesen, hari ini saya gembira akhirnya dapat juga lesen ini,” katanya yang menjalankan perniagaan itu sejak empat tahun lalu. 

Dalam pada itu, Sze Han berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan semua PBT agar memberikan Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid-19 kepada penjaja untuk beroperasi di tapak-tapak yang sesuai yang tidak mendatangkan kacau ganggu dan di kawasan yang selamat.

“Langkah ini dilakukan bagi membantu golonganberpendapatan rendah (B40) yang terjejas teruk akibat Covid-19 yang melanda negara ini. 

“Dalam usaha pemberian lesen itu, pihak PBT sendiri akan turun ke lokasi untuk membuat bancian sama ada tapak itu sesuai atau tidak, jika sesuai penjaja akan diminta untuk mengemukakan permohonan kepada PBT. 

“Namun, permohonan mereka harus menepati beberapa syarat yang telah ditetapkan iaitu tidak mendatangkan kacau ganggu termasuk aspek kebersihan, kesihatan dan tapak juga mesti dalam kedudukan yang selamat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN