TAIPING: Kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah petang semalam setelah mendulang bijih timah di sebuah kebun di Batu 24, Batu Kurau dekat sini akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan tertimbus tengah malam tadi.
Mangsa, Mohd. Zakaria Yahaya, 48, dipercayai ke kebun itu sejak pukul 8 pagi bagi melakukan kerja-kerja tersebut sendirian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau, Mohamad Hisyam Osman berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan kecemasan daripada polis pada pukul 10.09 malam bagi mencari mangsa yang dipercayai hilang.
Menurut beliau, keluarga mangsa telah membuat laporan polis pada malam kejadian setelah lelaki itu tidak pulang ke rumah kerana bimbang tentang keselamatannya.
“Susulan aduan itu, sepasukan anggota bersama jentera daripada balai bomba ini telah dikerah ke lokasi mangsa dipercayai berada iaitu di sekitar kawasan kebun tersebut.
“Hasil pencarian, anggota bomba menjumpai mangsa yang tertimbus di kedalaman kira-kira lima meter dalam keadaan membongkok sebelum kerja-kerja mengeluarkan mayat dilakukan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Berdasarkan pemerhatian di tempat kejadian, mangsa melakukan kerja mendulang menggunakan perkakasan biasa dan tidak melibatkan sebarang jentera. – UTUSAN ONLINE