MAHA 2020: Konsep secara hibrid - Utusan Malaysia

MAHA 2020: Konsep secara hibrid

RONALD Kiandee(tengah) bersama penganjur pada majlis Pra-Pelancaran MAHA 2020 di MAEPS, Serdang, semalam. - UTUSANFAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2020 buat julung kalinya dilaksanakan secara hibrid bermula 26 hingga 29 November ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, konsep tersebut selaras dengan pembudayaan norma baharu bagi memberi peluang kepada perkembangan teknologi dalam
bidang pertanian dan makanan.

Katanya, penganjuran MAHA edisi hibrid itu bakal menampilkan pelbagai produk baharu pertanian bersandarkan teknologi terkini, inovasi dan strategi pemasaran serta pengeluaran melalui kombinasi fizikal serta maya.

Katanya, pameran secara maya merupakan platform yang direka khusus bagi memenuhi keperluan perniagaan dalam industri pertanian dan makanan secara dalam talian yang menawarkan pengalaman sama seperti mengunjungi pameran fizikal, sekali gus mampu mengendalikan transaksi perniagaan bagi pasaran domestik atau luar negara.

“Kementerian menyasarkan sebanyak 10,000 pengunjung jemputan sehari secara fizikal dan lebih 100,000 penyertaan secara maya selama empat hari.

“Berdasarkan kepada sasaran ini dan tempoh penganjuran, kementerian menjangkakan MAHA kali ini mampu menghasilkan lebih daripada RM300 juta potensi nilai jualan termasuk padanan
perniagaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pra-Pelancaran MAHA 2020, dekat sini semalam.

Menurut Ronald, pelbagai aktiviti dalam talian dijalankan seperti sesi perbincangan, padanan perniagaan, webinar serta promosi produk pameran boleh dipaparkan secara langsung seakan-akan pengalaman mengunjungi acara pameran fizikal.

“Kesan dilaksanakan secara maya adalah sama dengan fizikal, malah lebih luas walaupun jumlah pengunjung berkurangan ekoran pandemik Covid-19,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN