Love Scam perangkap lagi mangsa - Utusan Malaysia

Love Scam perangkap lagi mangsa

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Seorang pekerja kilang wanita berusia 35 tahun di sini kerugian RM7,500 selepas dipedaya sindiket Love Scam yang menyamar sebagai Adam kononnya berkerja dan tinggal di Kuwait.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita itu berkenalan dengan Adam menerusi Facebook Messenger sejak Jun lalu.

“Selepas berkenalan, mereka bertukar nombor telefon dan sering berhubung menerusi aplikasi WhatsApp. Pada 20 Jun lalu, Adam memberitahu mangsa dia ingin menghantar hadiah tetapi wanita itu perlu menanggung kos penghantaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, seminggu selepas itu, mangsa dihubungi individu menyamar wakil syarikat pos meminta bayaran sebanyak RM1,000 dan dibayar wanita itu melalui pindahan wang.

Katanya, wanita itu sekali lagi dihubungi dan dimaklumkan terdapat sejumlah mata wang asing dalam bungkusan tersebut serta disyaki terlibat aktiviti pengubahan wang haram.

Menurutnya, bagi mengelak ditangkap polis dan didakwa di mahkamah, mangsa diminta suspek membayar RM3,000 untuk memastikan bungkusan itu dihantar terus dengan selamat.

Tanpa berfikir panjang, katanya, mangsa memasukkan amaun yang diminta ke dalam akaun milik seorang individu melalui tiga transaksi.

“Tidak lama selepas itu, Adam menghubungi mangsa dan ingin meminjam RM2,500. Tanpa syak, wanita berkenaan memasukkan wang ke dalam akaun milik seorang individu.

“Mangsa mula curiga apabila Adam semakin hari semakin kerap meminta wang. Dia juga masih belum menerima bungkusan yang dijanjikan sehingga hari ini,” ujarnya.

Wanita itu membuat laporan polis selepas menyedari tertipu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN