MELAKA: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan melakukan khianat sehingga menyebabkan kebakaran naskhah kitab di sebuah masjid di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Azahar Ramlan Ragawan, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Masjid Tengkera di Jalan Tengkera pada kira-kira pukul 4.08 petang, 11 Ogos lalu.
Mohamad Azahar didakwa mengikut Seksyen 435/511 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat menggunakan bahan letupan atau bahan api yang boleh menyebabkan kerosakan harta awam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Seksyen 435 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Norma kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN