ALOR GAJAH: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggangi dipercayai terbabas dalam kejadian di Kilometer 220.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa, M. Athi Shangaran, 25, yang membonceng motosikal tersebut maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Rakannya, A. Ramesh, 25, terselamat dan dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.
Difahamkan mereka dalam perjalanan pulang dari arah Rembau, Negeri Sembilan ke Melaka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggangi mereka hilang kawalan sebelum terbabas.
“Sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang kedua-dua mangsa hilang kawalan menyebabkan mereka terjatuh.
“Akibat kemalangan itu, pembonceng maut di tempat kejadian, manakala rakannya mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN