ARAU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar.
Dalam kejadian pukul 4.17 petang, Mohd Shahabudin Saad, 36, yang berada di koc E kereta api terbabit ditemukan tidak sedarkan diri oleh penyelia tren berkenaan.
Mangsa yang sepatutnya turun di Stesen Arau tidak memberi respons atau tindak balas kepada kakitangan ETS yang kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, siasatan mendapati tiada unsur perbuatan jenayah.
Katanya, berdasarkan buku temu janji, mangsa mempunyai masalah kesihatan dan kerap menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan pakar di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
“Doktor HTF menyatakan sebab kematian berunca serangan asma dan kegagalan fungsi paru-paru,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE