KLANG: Gara-gara membuat laporan polis jiran bising, seorang lelaki Bangladesh parah dibelasah tujuh lelaki Indonesia di rumahnya di Jalan Meru di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11.15 malam, mangsa cedera di seluruh badan dan muka akibat dipijak, ditendang dan ditumbuk selain diugut dengan parang.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membuat laporan polis.
“Mangsa berusia 32 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci diserang sekumpulan lelaki ketika membuka pintu rumah sewanya.
“Pada masa sama, mangsa turut diugut agar menyerahkan wang tunai RM5,000 sebagai balasan di atas perbuatan mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa hanya menyerahkan wang tunai RM900 kepada suspek dan berjanji akan melunaskan bakinya.
Jelas Nurulhuda, selepas suspek beredar, mangsa terus menghubungi pemilik rumah sewanya untuk meminta bantuan termasuk membuat laporan polis.
“Bertindak atas maklumat, tujuh suspek berusia 20 hingga 30-an diberkas.
“Kita turut merampas senjata yang digunakan untuk menyerang suspek termasuk telefon bimbit jenama Samsung milik mangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE